Tak sepatutnya kita di kedudukan teruk ini...

Laporan Sukan Sinar pada Isnin.
Laporan Sukan Sinar pada Isnin.
A
A
A

“APA logik dan praktikalnya kita dapat capai sasaran 36 pingat emas tapi kesudahannya kontinjen negara berada di kedudukan keenam keseluruhan 11 negara yang mengambil bahagian.”

Itu persoalan yang diajukan pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli ketika diminta mengulas mengenai pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Hanoi 2021 yang berakhir pada Isnin lalu.

“Sebenarnya saya dalam isu ini menjadi serba salah nak ucap tahniah, syabas atau sebaliknya kerana sekiranya tak ucap tahniah atau syabas, orang akan kata tidak menghargai pengorbanan atlet di Hanoi.

“Namun sejujurnya pencapaian di Hanoi 2021 sememangnya bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya sesuatu yang amat mengejutkan serta mendukacitakan buat sukan tanah air disebabkan Malaysia berada di kedudukan keenam.

“Apakah ini standard kita kalau melihat kelebihan-kelebihan yang kita ada, fasiliti sukan, expertise atau kepakaran yang kita ada dan macam-macam lagi.

“Pada saya, ini pencapaian terburuk dalam sejarah sejak penampilan pertama negara di temasya edisi Bangkok 1959, bukan penampilan terburuk di edisi Singapura 1983 yang banyak diperkatakan segelintir pihak sebelum ini, bukan 40 tahun tapi 63 tahun sebenarnya.

“1983 hanya lapan negara dan 18 sukan dengan 234 pingat ditawarkan dan kita dapat 16 pingat emas sahaja di kedudukan keenam. Tetapi di Vietnam ini ada 40 jenis sukan dan 525 pingat emas di tawarkan dan kita di kedudukan keenam juga. Tak sepatutnya kita di kedudukan teruk ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada masa sama, tegas Pekan, kontinjen negara tidak boleh lagi meletakkan sasaran untuk meraih pingat sahaja sebaliknya juga perlu mengambil kira kedudukan dalam kalangan negara bertanding di temasya tersebut.

“Kedudukan itu juga penting, sebenar kita janganlah memandang temasya Sukan SEA ini sekadar sukan melengkapkan penyertaan sahaja kerana ia melibatkan maruah negara.

“Sekiranya selepas ini katakanlah kita capai sasaran pingat emas juga tetapi kita berada di belakang Kemboja, Laos dan Timor Leste? Kalau kita tidak serius, masanya akan tiba. Tunggulah.

“Kita perlu berikan tumpuan kepada acara-acara yang menawarkan banyak pingat emas atau ‘lubuk emas’. Tengok Singapura sapu 21 emas daripada 40 di kolam renang. Vietnam dengan 22 daripada 47 emas dalam acara olahraga. Lubuk emas kita hanya acara terjun.

“Kita perlu ada strategi juga dalam Sukan SEA ini dan bukan sapu banyak pingat emas dan jadi juara bila jadi tuan rumah sahaja. Kita perlu serius apabila memperkatakan mengenai Sukan SEA, masanya sudah tiba untuk kita bermentalitikan menjadi juara ketika orang lain menjadi tuan rumah selepas ini,” jelasnya.

Untuk rekod, kontinjen negara mengakhiri cabaran di Hanoi 2021 dengan meraih 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa di kedudukan keenam dalam kalangan 11 negara.

Pekan juga berharap selepas ini semua pihak akan mengambil serius penglibatan dalam kalangan atlet negara dalam Sukan SEA pada masa depan kerana temasya tersebut mempunyai sentimen yang tinggi.

“Sukan SEA ini mempunyai sentimen yang tinggi dalam kalangan negara bertanding kerana ia melibatkan penyertaan dalam kalangan negara Asia Tenggara yang tinggi dari semangat kenegaraan dan semangat bangsa, inilah yang bagus untuk kemajuan sukan pada masa depan sebenarnya.

“Takkan kita hendak fokus terus kepada Sukan Asia tanpa tumpuan diberikan kepada sukan permulaan seperti Sukan SEA kerana tanpa Sukan SEA tiadalah kesinambungan untuk Sukan Asia, tiadalah Sukan Olimpik

“Sekiranya kita tidak berada di kedudukan terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara pada temasya Sukan SEA, bagaimana Malaysia nak bersaing dengan negara lain di Sukan Asia dan Sukan Olimpik?,” ujarnya.

Pekan juga mencadangkan supaya selepas ini tumpuan sewajarnya diberikan kepada acara yang menawarkan komposisi pingat yang banyak untuk kontinjen negara.

“Kita tolak tepi Vietnam sebagai tuan rumah, sebaliknya kita lihat Thailand, Indonesia dan beberapa negara lain yang raih kutipan pingat dalam acara menawarkan banyak pingat.

“Inilah yang perlu kita berikan tumpuan selepas ini dan tidak hanya bergantung kepada acara yang menawarkan satu pingat sahaja,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!