Jangan tangguh lagi!
TAHUN lalu penulis dikejutkan dengan kenaikan harga roti canai kosong di sebuah gerai berdekatan kediaman.
Ketika itu harga sekeping roti canai kosong naik 50 sen kepada RM1.50. Lebih mendukacitakan, saiznya juga agak ‘mengecil’ berbanding sebelum ini.
Apabila ditanya, peniaga berkenaan memberikan alasan kesukaran mendapatkan tepung gandum dan harga bahan mentah yang tinggi menyebabkan dia mengalami kerugian.
Katanya, ‘persatuan’ mereka juga telah menyelaraskan supaya harga makanan tersebut dinaikkan 50 sen. Maknanya, kebanyakan peniaga roti canai menjual makanan itu pada harga yang sama.
Masih berkisar mengenai cerita roti canai. Baru-baru ini suami penulis membeli roti canai bagi menggantikan juadah makan malam anak-anak kerana mereka tak mahu makan nasi.
Malangnya belum sempat penulis menjamah roti canai tersebut, ia sudah habis dimakan oleh anak-anak. Terkejut penulis kerana anak-anak yang masih kecil boleh menghabiskan dua keping roti canai setiap seorang.
Rupa-rupanya bukan setakat saiz roti canai yang sudah mengecil, malah ia juga semakin nipis.
Itu kisah roti canai. Baru-baru ini pula ketika membeli lauk di sebuah gerai tepi jalan, penulis perlu membayar RM16 untuk tiga ketul ayam dan sedikit sayur. Harga bagi seketul ayam bersaiz kecil itu sudah naik kepada RM4, manakala sayur pula naik kepada RM3. Penulis hanya mampu menarik nafas panjang.
Penulis percaya keadaan yang sama mungkin dilalui oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Bukan hanya makanan, malah segala barangan juga mengalami kenaikan harga yang ada antaranya dilihat tidak masuk akal.
Kemuncak
Beberapa laporan yang dikeluarkan oleh media tempatan menarik perhatian penulis. Satu daripadanya adalah kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan 600,000 tan metrik jagung bijirin bagi diproses menjadi makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Ia sekali gus diramalkan dapat mengurangkan 30 peratus kebergantungan bahan import.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan, sasaran itu mampu dicapai melalui projek penanaman jagung bijirin di kawasan seluas 50,000 hektar secara berfasa bermula tahun depan.
Selain itu, sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit yang bernilai kira-kira RM20 juta bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, Terengganu hujung tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Agak lama penulis menantikan berita sebegini, namun harus menunggu lagi untuk mengetahui apakah sambungan episod ‘sasaran’ itu kerana projek berkenaan akan dimulakan hujung tahun ini dan pada tahun depan.
Mengapa tahun depan? Mengapa tidak mulakan sekarang atau sebelum ini kerana rakyat sudah penat berdepan dengan situasi harga yang meruncing. Harga melambung disebabkan peningkatan sumber makanan ruji ternakan terutama ayam dan lembu.
Pada pandangan penulis, pemerkasaan sektor makanan ternakan sepatutnya tidak perlu lagi ditangguhkan, malah telah dilaksanakan lebih awal bagi mengelak kebergantungan kepada sumber import.
Kita sudah tidak banyak masa. Jika diperkasakan sejak dulu, ia telah mengeluarkan hasil 10 tahun lalu, bukan menanti hasil yang masih belum pasti 10 tahun akan datang.
Apa pun, penulis berdoa agar segala perancangan kerajaan berjalan lancar dan memenuhi apa yang disasarkan untuk mengembalikan hasilnya kepada rakyat.
* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!