Tiada rombakan besar Harimau Muda
SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak akan mengalami perubahan besar dalam persiapan mengharungi kempen Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan yang bermula 2 Jun ini.
Menurut pengendali negara, Brad Maloney, beliau berpuas hati dengan barisan pemain sedia ada selepas melihat prestasi mereka ketika beraksi pada Sukan SEA Hanoi 2021.
Jelasnya, tiada keperluan melakukan rombakan dalam pemilihan pemain yang akan dibawa ke Uzbekistan memandangkan tempoh singkat selepas berakhirnya Sukan SEA.
“Sekalipun tempoh persediaan mengharungi perlawanan Piala Asia agak singkat, namun saya percaya saingan pada Sukan SEA menjadi medan terbaik untuk kami membina keserasian dan memperbaiki setiap kelemahan.
“Apa yang dilalui pasukan negara di Vietnam sangat positif walaupun kami gagal meraih sebarang pingat. Kami dapat bersaing enam perlawanan antarabangsa dalam tempoh 14 hari.
“Fokus utama ketika ini adalah mengharungi Piala Asia dan saya harap pasukan mampu merekodkan keputusan positif nanti,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Skuad negara pulang dari Hanoi dengan tangan kosong selepas tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi sepakan penalti dalam aksi penentuan pingat gangsa di Stadium My Dinh pada Ahad.
Sebelum itu, anak-anak buah Maloney terpaksa akur mengalami kekalahan 0-1 kepada penyandang juara, Vietnam dalam aksi di peringkat separuh akhir.
Pada Piala Asia B-23 2022 nanti, Harimau Muda diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Korea Selatan selain dua negara jiran, Vietnam dan Thailand.
“Pemain-pemain akan diberi cuti rehat sehari sebelum kembali ke kem latihan pusat pada Rabu kerana kita dijadualkan berlepas ke Uzbekistan pada Jumaat nanti,” jelas Maloney.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!