Jangan cepat jatuh hukum
PENCAPAIAN skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Brad Maloney pada Sukan SEA Hanoi 2021 masih boleh dibanggakan sekalipun mereka gagal menjelmakan sebarang kilauan pingat.
Tampil dengan kesemua barisan pemain bawah usia 23 tahun berbanding tiga lagi pasukan pilihan, Vietnam, Thailand dan Indonesia, prestasi Harimau Muda tetap dianggap baik.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad kendalian Maloney telah menampilkan persembahan terpuji walaupun tanpa khidmat tiga pemain senior sepertimana yang dibenarkan penganjur.
“Kalau ditanya sama ada pasukan muda negara gagal atau tidak, pada pendapat saya tidak gagal. Takkan kena bawa balik pingat baru kita nak kata mereka berjaya.
“Kita kena tengok juga pada aspek-aspek teknikal, barulah kita boleh labelkan pasukan ini gagal. Malah, mereka juga berjaya memperbaiki prestasi apabila berjaya layak ke separuh akhir berbanding edisi sebelum ini.
“Keseluruhannya, saya boleh cakap mereka tidak gagal. Mereka masih dalam proses berkembang dengan lebih bagus untuk menjadi sebuah pasukan mantap,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Menerusi rangkuman prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Hanoi 2021 yang dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin, skuad B-23 negara diletakkan berada dalam kelompok sukan yang gagal.
Indikator tersebut diletakkan bersandarkan keputusan yang dicapai skuad negara apabila mereka gagal meraih sebarang pingat pada edisi ke-31 itu.
Akuatik renang, bola keranjang, catur, dance sports, juijitsu, judo, kanu/kayak, memanah, mendayung, pencak silat, petanque, tenpin boling, bola tampar, futsal lelaki, triathlon dan e-Sukan turut diklasifikasikan dalam sukan yang gagal.
“Bagi saya, kalau kita mahu nilai prestasi sebenar skuad B-23 kebangsaan, kita harus melihat kepada persembahan mereka pada Piala Asia di Uzbekistan bulan depan.
“Sebab sebelum ini, Maloney langsung tidak meletakkan sasaran pingat pada Sukan SEA. Malah, beliau juga ada bercakap Sukan SEA ini adalah sebagai medan persiapan sebelum Piala Asia.
“Jadi kalau nak nilai atau hukum mereka, tunggu selepas Piala Asia dan bukannya berdasarkan prestasi pada Sukan SEA semata-mata. Tak adil jika mereka dihukum terlalu awal,” jelas Azraai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!