Tak sanggup aniaya pelanggan, peniaga roti canai tetap jual 50 sen

Rohaizan menyediakan roti canai yang ditempah pelanggan.
Rohaizan menyediakan roti canai yang ditempah pelanggan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun harga tepung gandum naik, peniaga roti canai dekat kawasan perindustrian Chendering, di sini masih mengekalkan harga 50 sen bagi sekeping roti canai kosong.

Rohaizan Hassan, 52, berkata, kenaikan harga tepung gandum tidak mempengaruhi harga roti canai yang dijual sejak tahun lalu.

"Saya kasihan pelanggan yang ramai anak terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk makan pagi. Kalau harga dinaikkan jumlah perbelanjaan mereka sudah tentu berganda.

"Ramai pelanggan saya beritahu susah nak dapat roti canai harga murah sekarang. Kalau ada pun harga roti kosong RM1.20, RM1.50 sekeping macam tak munasabah pula.

"Lagipun saya niaga untuk lepas bayar hutang dan simpanan untuk belanja sekolah anak. Alhamdulillah setakat ini ada rezeki. Nak kaya itu tidaklah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Rohaizan, bergantung atas kedai untuk menaikkan harga sekiranya perlu membayar sewa mahal, ia agak munasabah.

"Saya tahu ramai peniaga lain yang berbeza pandangan dengan saya dalam hal ini. Tetapi bagi saya, kalau peniaga yang sewa rendah atau jual tepi jalan macam saya namun roti canai yang dijual mahal, ia tidak munasabah.

"Lagipun pendapatan orang sekarang bukan macam dulu kerana peningkatan komitmen, harga semua barang naik mendadak. Kalau harga roti canai kosong dijual 80 sen hingga RM1 bagi saya masih boleh diterima, kalau sudah mencecah RM1.50 itu sudah menganiaya pelanggan," katanya.

Menurut Rohaizan, setakat ini dia tidak akan menaikkan harga roti canai yang dijual.

Rohaizan
Rohaizan

"Semua barang sekarang naik harga. Harga biasa bagi sekotak tepung gandum RM15, kalau naik harga akan jadi dua kali ganda. Akan datang harga sekotak tepung tak mustahil sama dengan sebiji tong gas.

"Walau macam mana sekalipun saya takkan naikkan harga roti canai ini sebab harga semua ini semua boleh diselaraskan. Biarlah ia kekal dan kalau boleh sampai bila-bila saya nak kekalkan harga ini demi pelanggan," katanya.

Rohaizan berkata, setakat ini dia tidak mengalami kesukaran untuk dapatkan tepung gandum di Kuala Terengganu.

Katanya, selain roti canai, dia turut menjual tiga jenis martabak iaitu ayam, daging dan sardin yang dijual pada harga RM5 bagi tiga keping.

"Selepas Hari Raya Aidilfitri pelanggan agak berkurangan. Rata-rata peniaga pun mengeluh pelanggan kurang mungkin faktor perayaan.

"Tepung gandum yang saya gunakan sebanyak 4 kilogram (Kg) sehari ada masa tertentu tidak habis. Hari cuti pula 7kg tepung ada yang tak habis berbanding sebelum ini 10kg tepung gandum licin dijual," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!