Licik, guna Wechat jual dadah

Mazlan (tiga, kiri) menunjukkan rampasan dadah susulan tertangkapnya pasangan kekasih warga tempatan.
Mazlan (tiga, kiri) menunjukkan rampasan dadah susulan tertangkapnya pasangan kekasih warga tempatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 'Strategi' kegiatan pengedaran dadah menggunakan aplikasi Wechat sebagai medium menjual dadah kepada pelanggan dibongkar.

Pembongkaran ini dibuat susulan tertangkapnya seorang wanita berusia 27 tahun di lot parkir sebuah kondominium di Sungai Besi, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan kira-kira jam 1.30 petang yang dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah Brickfields menemui tiga paket plastik disyaki dadah ketamin seberat 2.4 gram serta dua paket plastik disyaki dadah methamphetamine seberat 1.5 gram.

"Soal siasat terhadap suspek ini membawa serbuan sebuah unit kediaman di lokasi terbabit kira-kira jam 2.30 petang.

"Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun berjaya diberkas selain rampasan 74 paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis MDMA (5.81 kilogram), ekstasi (140 biji), eramin 5 (230 biji) serta dadah disyaki ketamin seberat 12 gram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, dianggarkan kesemua nilai rampasan dadah bernilai RM590,779.

No Image Caption



Antara dadah yang dirampas.
Antara dadah yang dirampas.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berhubung modus operandi suspek terbabit, beliau mendedahkan, kedua-dua pasangan kekasih ini telah aktif sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan aplikasi Wechat untuk menjual dadah dengan harga RM120 sepaket.

Tambahnya, pelanggan yang hendak membeli dadah tersebut akan diarah suspek untuk membuat pembayaran menerusi akaun bank.

"Setelah pembayaran dibuat, suspek akan mengarahkan pembeli ini untuk mengambil dadah tersebut yang diletakkan di bawah kenderaan secara rawak di kawasan tempat letak parkir sebuah pusat beli-belah. Ini bagi mengelakkan suspek dicam selain memastikan dirinya tidak tertangkap oleh pihak polis," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya dadah ini diperoleh dari pembekal lain sebelum suspek membuat pembungkusan menggunakan paket minuman di kediamannya untuk diedarkan.

"Kedua-dua suspek yang positif dadah ini kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu berjaya diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuchai Lama, di sini, Sabtu lalu.

"Suspek berusia 27 tahun ditahan bersama rampasan 14 paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 850 gram bernilai RM40,200," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!