'Krisis bekalan ayam tidak akan pulih dalam tempoh terdekat'

Tiga pekerja di Kedai Ayam Segar Dusun Tua membersihkan ayam sebelum dijual kepada pelanggan sekitar Dusun Tua pada Selasa.
Tiga pekerja di Kedai Ayam Segar Dusun Tua membersihkan ayam sebelum dijual kepada pelanggan sekitar Dusun Tua pada Selasa.
A
A
A

HULU LANGAT - Pemborong ayam menjangkakan krisis bekalan ayam tidak akan pulih dalam tempoh terdekat, sebaliknya masalah kekurangan ayam dijangka akan berterusan dalam tempoh seminggu ini.

Pemborong dan peniaga ayam segar dari Dusun Tua di sini, Md Ghadafi Ahmad Harmain, 44, berkata, ramai peniaga masih lagi mengeluh kerana masalah kekurangan ayam sehingga hari ini.

Pada masa sama, menurutnya, sekiranya isu kekurangan bekalan itu berlanjutan sehingga minggu depan ia akan membawa kepada kenaikan harga ayam dan barangan lain yang berkaitan.

"Minggu lalu, saya berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan ayam. Bekalan ayam yang diterima pula hanya separuh daripada jumlah tempahan, keadaan ini masih tidak berubah.

"Biasanya, saya menempah antara 500 hingga 700 ekor ayam tetapi dalam tempoh seminggu lalu bekalan diterima hanya 400 ekor dan keadaan ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

"Dalam isu ini, saya minta kerajaan mengambil perhatian serius untuk mengatasi masalah bekalan dengan dengan segera," kata pengusaha Kedai Ayam Segar Dusun Tua itu kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Selasa.

Mohammad Azizi Fitri menggesa masalah kekurangan bekalan bahan mentah itu perlu diberi perhatian serius.
Mohammad Azizi Fitri menggesa masalah kekurangan bekalan bahan mentah itu perlu diberi perhatian serius.

Pada Isnin, sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet semalam telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini.

Md Ghadafi menambah, berikutan bekalan ayam yang diterima masih lagi berkurangan ada peniaga terpaksa menetapkan harga ayam pada harga RM10.50 sehingga RM11 sekilogram pada hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di Pasar Selayang di Kuala Lumpur, Mohammad Azizi Fitri Abu Zanar, 26, pula berkata, masalah kekurangan bekalan bahan mentah itu perlu diberi perhatian serius.

"Bekalan masih kurang hari ini ayam dijual pada harga RM10.20 sekilogram dan kami terpaksa menaikkan harga kepada RM10.50 sekilogram esok kerana bekalan masih sukar diperoleh," katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Fadilah Mansor, 46, berkata, keadaan itu dijangka akan berterusan sehingga minggu depan dan krisis bekalan ayam tidak akan pulih dalam tempoh terdekat dan dijangka akan berterusan dalam minggu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!