MBI tawar diskaun kompaun 70 peratus
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan diskaun sebanyak 70 peratus bagi kompaun membabitkan kesalahan lalu lintas pada 27 Mei ini bersempena Sambutan Hari Bandar raya Ipoh ke-34.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bukan itu sahaja, pelbagai kemudahan dan aktiviti turut diatur sempena sambutan berkenaan antaranya termasuklah penggunaan Pusat Akuatik Tuaku Zara secara percuma, tiket bot percuma di Taman Rekreasi Gunung Lang dan sebagainya.
Menurutnya, MBI juga turut menganjurkan Malam Tanpa Kereta Ipoh dan Malam Perkelahan Keluarga, pertandingan mewarna, pertandingan memancing, Pertandingan Keceriaan dan Pengindahan Bandar raya Ipoh.
"Pada 27 Mei 2022 ini, adalah Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-34, sehubungan itu Majlis Bandaraya Ipoh akan menganjurkan sejumlah 14 program.
"Saya memohon kerjasama dan jasa baik rakan media untuk menguar-uarkan program-program tersebut bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Bandar raya Ipoh pada tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Media, di M Roof Hotel, di sini pada Selasa.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi XOX Berhad, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Pengerusi, Frontier Resources Sdn Bhd, Mohammad Bashir; Ketua Pegawai Eksekutif One XOX, Bobie Farid Shamsuddin dan ahli-ahli majlis MBI.
Dalam pada itu, Rumaizi menzahirkan penghargaan kepada agensi media yang banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan seimbang tentang Bandar raya Ipoh sama ada di dalam akhbar, radio mahupun televisyen.
Menurutnya, media memainkan peranan sebagai badan yang mempunyai kuasa mutlak dalam membuat pemilihan sama ada sesuatu isu sesuai dijadikan bahan berita untuk menjadi santapan.
"Saya amat mengharapkan akan wujudnya 'mutual understanding' di antara kita agar segala urusan kedua-dua pihak dapat berjalan dengan lancar. Adalah penting bagi kita untuk berkongsi maklumat daripada pelbagai sumber yang diperoleh supaya dapat menangkis sebarang dakwaan yang kurang tepat dan memperbaiki situasi sekiranya dakwaan tersebut didapati benar.
"Maka adalah menjadi harapan pihak MBI agar berita mengenai tindakan susulan yang dilaksanakan dimaklumkan oleh media. Inilah antara kerjasama yang boleh kita jalinkan dengan rakan-rakan media sekalian," ujarnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan turut berlangsung dua sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) MBI bersama XOX Berhad dan Frontier Resouces Sdn Bhd untuk menjalinkan kerjasama bagi memajukan sukan bola sepak serta pembangunan bandar raya Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!