Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur akan diteruskan
PROGRAM Rintis Bank Rakyat UNIpreneur akan diteruskan pada tahun 2022 dengan penglibatan ramai pelajar dan akan dibuka kepada banyak institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana kejayaan pelaksanaan program itu pada tahun 2021.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur itu merupakan inisiatif Jabatan Kelestarian, Bank Rakyat dengan kerjasama IPT tempatan untuk membantu usahawan siswa mengembangkan perniagaan mereka.
"Setakat ini, seramai 10 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih sebagai peserta projek rintis Bank Rakyat UNIpreneur.
Mereka diberikan suntikan dana sebanyak RM2,000 seorang dan bimbingan untuk menjalankan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Abdul Rani berkata, pada 18 Mei lepas, seramai 150 pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM serta peserta Bank Rakyat UNIpreneur dan RAKYATpreneur 2.0 menghadiri sesi interaksi bersamanya dalam program Santai Aidilfitri Bersama Bank Rakyat UNIpreneur yang diadakan di UPM, Serdang.
"Program ini melibatkan Bank Rakyat bersama peserta Program Rintis Bank Rakyat UNIpreneur yang telah bermula pada September 2021 dan tamat pada Februari 2022.
Untuk menjadi usahawan yang berjaya, pelajar perlu mempunyai jiwa yang kental dan berani dalam mendepani cabaran," katanya.
Turut hadir ke program ini Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Profesor Madya Dr. Bany Ariffin Amin Noordin, Pengarah Wilayah (Utara Semenanjung) dan Ketua Wilayah Selangor Bank Rakyat, Abdul Yazid Yaacob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!