Yasin for Aqsa: Sokongan buat rakyat Palestin

Mujahid (tengah) menyampaikan sumbangan ketika merasmikan Konvensyen Masjid Model Rahmah di Masjid Al Malik Khalid USM tadi.
Mujahid (tengah) menyampaikan sumbangan ketika merasmikan Konvensyen Masjid Model Rahmah di Masjid Al Malik Khalid USM tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah program bacaan surah Yasin akan diadakan pada 4 April ini di seluruh negara bagi menyatakan sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin yang diserang zionis Israel beberapa hari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, program itu sudah dirancang oleh kerajaan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini turut memperjuangkan isu Palestin.

Menurutnya, selain bacaan surah Yasin, platform yang sama juga turut mengadakan solat hajat kepada umat Islam yang ditindas di bumi Gaza tersebut.

"Program tersebut diberi nama Yasin for Aqsa akan diadakan di seluruh negara bagi mendoakan keselamatan dan menunjukkan keprihatinan Malaysia dalam isu ini.

"Kita akan baca Yasin dan juga solat hajat yang mana program ini sudah dalam perancangan bersama NGO yang memperjuangkan isu Palestin ini. Insya-ALLAH ia akan diadakan pada 4 April ini di seluruh negara," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Mujahid ditemui selepas merasmikan Konvensyen Masjid Model Rahmah di Masjid Al Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tadi.

Tambahnya, Malaysia tetap dengan pendirian bahawa tidak mengiktiraf Israel dan tidak akan memberi ruang urusan diplomatik dengan negara terbabit.

"Kita tetap dengan pendirian kita tentang pendudukan dan penjajahan Israel ke atas tanah Gaza. Oleh itu, kita minta supaya keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Gaza adalah milik Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Semalam saya dikunjungi delegasi Persatuan Ulama Palestin Asia Tenggara di Parlimen. Mereka baharu selesai bersidang di Persidangan Al- Aqsa dan mereka memaklumkan bahawa Gaza sekali lagi diserang.

"Kita jelas pendirian tentang pendudukan dan penjajahan Israel ke atas tanah Gaza dan kita minta supaya keputusan PBB bahawa Gaza adalah milik Palestin dihormati Israel," katanya.

Menurutnya, isu Palestin akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet esok untuk membincangkan tindakan Malaysia terhadap isu tersebut.

"Saya akan bawakan isu ini esok dan tengok apa tindakan yang akan diambil.

"Mungkin juga akan dibuat usul mengutuk Israel di Parlimen seperti yang dibuat beberapa tahun sebelum ini. Semua ini akan dibincangkan esok," katanya.

Isnin lalu, Israel melancarkan serangan ke atas Gaza dan menambah jumlah tentera mereka di kawasan sempadan sebagai tindak balas pelancaran roket oleh Hamas.

Serangan pada Isnin tercetus selepas tujuh penduduk Israel tercedera berdekatan Tel Aviv susulan serangan roket Hamas.

Israel merampas Gaza pada 1967 secara haram sebelum ini menarik semula tentera mereka pada 2005 dan sejak itu wilayah tersebut terus bergolak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!