Bekalan ayam di Negeri Sembilan terkawal, mencukupi: Exco

Veerapan (kiri) ketika membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya di Seremban.
Veerapan (kiri) ketika membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Bekalan ayam di Negeri Sembilan terkawal dan mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan meskipun berlaku pengurangan bekalan berkenaan di beberapa lokasi.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ia berdasarkan hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Menurutnya, permintaan yang tinggi semasa musim perayaan menyebabkan bekalan ayam sedikit terganggu, namun ia masih boleh didapati di pasar awam dan pasar raya.

"Bekalan yang diterima oleh peniaga adalah terhad dan akan habis dalam masa yang singkat.

"Pemeriksaan dan pemantauan stok bekalan ayam juga dijalankan di setiap peringkat rantaian pengedaran bagi memastikan tiasa isu terputus bekalan ayam," katanya kepada pemberita pada Operasi Pemantauan Bekalan Ayam di sini pada Rabu.

Veerapan berkata, pemantauan berterusan sentiasa dijalankan bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan pegawai pemantau harga bagi memastikan bekalan ayam mencukupi dan dijual di bawah harga kawalan.

"Setakat ini, tiada aduan berkaitan kenaikan harga ayam di mana ayam standard dijual pada harga RM8.90 sekilogram manakala ayam super dijual RM9.90 sekilogram.

"Selain itu, tiada unsur pencatutan yang dilakukan peniaga dalam penetapan harga ayam dan perkhidmatan mereka, namun sekiranya berlaku tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Sementara itu, permintaan ayam oleh pengguna di Negeri Sembilan adalah sebanyak 2.2 juta ekor sebulan dan bekalan ini dilihat semakin stabil selepas berlaku pengurangan ayam sejak Hari Raya Aidilfitri lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

"Ini bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna di kawasan berkenaan berpeluang memperoleh bekalan ayam.

"Sekiranya pengguna membuat pembelian secara panik dengan kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat secara tiba-tiba," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!