Kuantan, Rompin lokasi projek perintis pelancongan taman karavan

Wan Rosdy (berdiri, tengah) menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (duduk, dua dari kanan) mewakili kerajaan Pahang bersama dengan wakil daripada CIVD pada 14 Mei lalu.
Wan Rosdy (berdiri, tengah) menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (duduk, dua dari kanan) mewakili kerajaan Pahang bersama dengan wakil daripada CIVD pada 14 Mei lalu.
A
A
A

KUANTAN - Daerah Kuantan dan Rompin bakal menjadi lokasi pertama bagi melaksanakan projek perintis pelancongan berkonsepkan taman karavan di negeri ini.

Memetik laporan Pahang Media, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ke arah itu sedang dilaksanakan dan dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, banyak proses perlu diselesaikan sebelum projek perintis pelancongan berkonsepkan taman karavan ini dapat dilaksanakan.

"Antaranya, perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan untuk membawa karavan ke negara ini.

"Usaha-usaha ke arah itu telah berjalan di mana kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa dan sebagainya. Perbincangan dan tandatangan persefahaman juga telah dibuat dengan pihak-pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Pahang Media selepas menyampaikan Geran Hakmilik Skim Tanah Rakyat (STR) dan Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis 5A) kepada 203 penerima di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, Temerloh, Isnin lalu.

Berdasarkan laporan Pahang Media itu, Wan Rosdy optimis projek tersebut bakal membawa pelaburan besar ke Pahang terutamanya dalam sektor pelancongan.

"Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimenterai baru-baru ini, pihak Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman berjanji akan membawa masuk pelaburan bernilai tidak kurang RM500 juta ke negeri ini.

“Saya juga percaya nilai pelaburannya akan meningkat secara berperingkat selepas projek ini menjadi kenyataan," katanya.

Tambah beliau, pelancongan berkonsepkan taman karavan sesuatu yang baharu di negara ini dan ia dijangka bakal menarik minat banyak pihak.

“Beza dengan negara barat, konsep pelancongan ini sudah lama popular jadi kita akan bawanya ke Pahang.

"Saya sangat yakin konsep pelancongan baharu ini akan dapat sambutan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pahang bakal bangunkan industri pembuatan karavan selepas memeterai MoU dengan CIVD yang berpangkalan di Frankfurt Jerman

MoU itu merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan karavan, ekosistem pembuatan karavan dan pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik serta Australia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!