Ten Hag sasar United kembali ke UCL musim hadapan
PENGURUS baharu Manchester United, Erik Ten Hag tidak menyasarkan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya di Old Trafford.
Sebaliknya, pengendali kelahiran Belanda itu mahu untuk membawa United kembali ke kancah Liga Juara-Juara selepas terlepas tiket beraksi di pentas elit Eropah apabila sekadar menamatkan musim ini di tangga keenam liga.
“Saya selalu katakan bahawa saya sentiasa mahu membawa United kembali ke puncak, namun kami perlu terima hakikat berkenaan situasi yang dialami pasukan itu.
“Tetapi untuk musim pertama saya di sini, saya sasarkan untuk bawa United kembali ke kancah UCL. Itu adalah sasaran utama saya ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, Ten Hag sebelum ini diumumkan sebagai pengurus tetap United pada bulan lalu sekali gus mengambil tugas yang dikendalikan Ralf Rangnick sebelum ini.
Dalam pada itu, Ten Hag berkata, meskipun sasarannya adalah untuk membawa United beraksi di UCL musim depan, ia tidak bermakna bahawa mereka tidak akan memberi fokus kepada kejuaraan domestik.
“Bagi saya setiap kejohanan atau perlawanan sangat penting. Jadi kami akan cuba beri aksi terbaik dalam setiap kali perlawanan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!