[VIDEO] 'Tanah lapangan terbang Seri Iskandar masih boleh diselamatkan'
IPOH - Tanah dicadangkan untuk membina lapangan terbang di Seri Iskandar yang telah dijual masih boleh diselamatkan oleh kerajaan negeri Perak.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk mengekalkan tanah tersebut berdasarkan sekatan kepentingan ditetapkan.
Menurutnya, permohonan kaveat secara peribadi ke atas tanah berkenaan juga sudah diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.
"Saya terpanggil untuk buat kaveat itu bagi menghalang sebarang pembangunan ke atas tanah tersebut.
"Kaveat ini saya telah mohon dan diterima. Jadi jika pembangunan mahu dilaksanakan di atas tanah itu, mereka perlu jumpa saya untuk batalkan kaveat ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Hotel Impiana di sini pada Rabu.
Hamidah berkata, kerajaan negeri perlu mengekalkan tanah tersebut bagi tujuan pembinaan lapangan terbang di kawasan itu.
Menurutnya, memang dalam geran juga ada kaveat atas nama syarikat yang membeli tanah tersebut.
Beliau berkata, tanah tersebut harus dikekalkan sebagai tapak lapangan terbang kerana memberi manfaat kepada rakyat setempat.
"Kerajaan hari ini boleh membatalkan keputusan. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad masih ada kuasa dan ruang untuk mempertahankan jika dia betul-betul berminat hendak membina lapangan terbang.
"Saya sarankan pertahankan tanah ini. Nak dapat memang susah. Jika nak batalkan perjanjian, kerajaan boleh pulangkan bayaran balik jika berkehendak," katanya.
Menurutnya, berdasarkan alasan kaveat syarikat berkenaan, deposit sebanyak RM7 juta telah dibayar daripada keseluruhan RM50 juta bayaran pembelian tanah tersebut
Katanya, kerajaan negeri masih ada harapan untuk tanah tersebut diselamatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!