'Acap kamu dimana sekarang' - Netizen
GOPENG - Setelah memasuki hari keempat, operasi mencari seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail Mohammad Ashraf Hassan, 29, terus menjadi bualan netizen.
Anak kelima dari tujuh beradik itu, memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada kedudukan 10 peserta teratas.
Selain pasukan mencari dan menyelamat melakukan operasi mengesan mangsa juga pembantu makmal klinik kesihatan Muar, Johor, usaha mencari Ashraf turut dilakukan oleh pentadbiran Facebook Gopeng Ultra.
Pihak terbabit telah mengumpul beberapa maklumat berhubung pertemuan terakhir mangsa dengan para peserta larian.
Menerusi status Facebook itu, seorang pelari bernama Dewi sempat merakam foto mangsa di lokasi Bukit Batu Putih.
Malah netizen, Bee Ghozali juga berkongsi video berdurasi 15 saat memperlihat Ashraf berada di puncak bukit.
Pelbagai usaha dilakukan netizen untuk membantu operasi menyelamat walaupun tidak mengenali mangsa.
Kristal Jingga berkata,"Ya ALLAH Acap (Ashraf) kat mana lah kau sekarang, pulang la, anak isteri, ibu, sahabat, semua menunggu kepulanganmu. Ya ALLAH permudahkanlah urusan pencarian ini".
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah tiga hari, Ashraf belum ditemui
Selain itu, Mohd Fadzil Khalid berkongsi pengalaman dan dia antara peserta yang terakhir turun dari bukit berkenaan.
"Saya antara orang terakhir yang turun dari bukit itu bersama rakan Rozinah Yacob. Seingat saya dalam jam 5 petang, saya dan Rozinah tidak nampak sebarang pelari di depan atau di belakang kami.
"Kami juga duduk di kaki bukit agak lama dan tiada seorang pelari yang turun selepas kami," katanya.
Malah Rozinah juga menyokong kenyataan Mohd Fadzil dan mendoakan agar tiada sebarang kecelakaan menimpa Ashraf.
Sementara itu, kata Marzuki Mustaffa, mangsa adalah seorang pelari yang laju dan netizen juga mencipta tanda pagar #prayforacab mendoakan kesejahteraannya sepanjang tempoh pencarian.
Mohd Syafei Ahmad berkata, "Kami tak pernah berjumpa tapi kerana minat yang sama, kehilangan Ashraf sangat terkesan pada saya. #prayforacab
Selain itu, memetik laporan The Star, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How berkata kira-kira 170 orang kini terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Ia melibatkan anggota polis, tentera, Pasukan Gerakan Am dan Rela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!