Jenayah komersial di Johor meningkat, kerugian cecah RM158 juta
JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,377 kes jenayah komersial direkodkan di Johor sejak Januari lalu sehingga Isnin dengan jumlah kerugian RM158 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 1,310 kes dengan jumlah kerugian RM68 juta.
"Sepanjang tempoh dari 1 Januari hingga 23 Mei 2022, kes penipuan merupakan yang tertinggi dengan 1,242 kes manakala penipuan ah long pula menduduki tempat kedua tertinggi dengan 66 kes dan pecah amanah 32 kes.
"Ini diikuti jenayah siber (27 kes); pemalsuan (empat kes); salah guna harta (dua kes); wang palsu (satu kes) dan selebihnya lain-lain kes," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Pengusaha Kilang serta Wakil Komuniti Daerah Seri Alam di Dewan Serbaguna Taman Mawar pada Rabu.
Turut hadir Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, pecahan kerugian kes jenayah komersial bagi tempoh itu pula membabitkan RM139 juta melibatkan penipuan, pecah amanah (RM18 juta, jenayah siber (RM545,470), kegiatan ah long (RM349,321) dan salah guna harta (RM49,000).
Sementara itu, beliau turut menggesa masyarakat awam memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu polis membendung kegiatan lumba haram yang meningkat di negeri ini selepas negara memasuki peralihan fasa endemik.
Menurutnya, peningkatan kegiatan itu dilihat kembali aktif khususnya pada hujung minggu dan susulan itu pihaknya telah mengarahkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
"Masyarakat memang mengeluh berhubung kegiatan ini, namun keluhan tanpa sebarang tindakan tidak akan menghasilkan apa-apa, jadi seharusnya salurkan maklumat kepada polis dan kami akan ambil tindakan sewajarnya.
"Sama-sama kita banteras kegiatan ini kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa anak-anak yang terlibat, ini kerana dalam aktiviti rempit itu tiada sebarang peraturan yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!