Pindaan Akta 716 dikuatkuasakan Julai ini: KP Perhilitan

Abdul Kadir
Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang antara lain menyaksikan hukuman denda maksimum dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pesalah di bawah akta itu, dijangka dikuatkuasakan Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pengkuatkuasaan akta itu dibuat setelah ia diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, selain hukuman denda, pindaan itu juga meliputi peningkatan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun untuk pesalah di bawah akta tersebut.

"Kami berharap dengan penalti yang lebih tinggi, konservasi hidupan liar lebih terjamin dan selamat memandangkan populasi ini semakin kurang disebabkan isu pemburuan haram dan sebagainya.

"Kami berharap pindaan akta ini dapat memberi pengajaran dan pendidikan kepada rakyat Malaysia untuk lebih prihatin terhadap hidupan liar,” katanya selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Malaysian Zoological Parks and Aquaria (MAZPA) ke-25 di sini pada Rabu.

Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Negara pada 21 Dis lepas bagi menambah baik akta berkenaan dalam meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam kenyataan sebelum ini menyatakan terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian, serta kutipan fi bagi aktiviti di kawasan rizab dan perlindungan hidupan liar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!