10 lokaliti di Sarawak dipilih untuk laksana Fasa Satu Program BMTKM
KUCHING - Sebanyak 10 lokaliti di Sarawak telah dipilih untuk pelaksanaan Fasa Pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dijadualkan bermula penghujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia terdiri daripada lokaliti di Gedong, Kampung Seberang (Sebuyau), Kampung Bakong (Lingga), Long Kajang (Belaga), Kampung Spaoh (Betong), Ulu Tinjar (Baram), Pakan, Lawas, Daro dan Telang Usan.
Beliau berkata, bantuan-bantuan di bawah BMTKM ini adalah sama dengan bantuan yang diberikan kerajaan sebelum ini untuk golongan miskin tegar, namun lebih berfokus dengan pemantauan dilaksanakan dengan kerjasama universiti awam di samping pelantikan pegawai yang khusus di setiap negeri.
"Bagi Sarawak universiti awam yang terlibat adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada Rabu.
Katanya, lokaliti-lokaliti di negeri ini merupakan sebahagian daripada 80 lokaliti di seluruh negara yang telah dipilih untuk fasa pertama program berkenaan.
Mustapa berkata, tumpuan akan terus diberikan kepada Sarawak kerana ia merupakan negeri yang merekodkan kadar kemiskinan yang agak tinggi pada tahun 2019 iaitu sembilan peratus berbanding kadar kemiskinan nasional 5.6 peratus.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam usaha merapatkan jurang dan menangani masalah ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri yang masih wujud, dan matlamat BMTKM yang dilaksanakan sebanyak tiga fasa itu adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025.
Menurutnya, pembangunan data dan sistem BMTKM diintegrasikan dengan Sistem eKasih yang merangkumi Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dan Dashboard BMTKM bagi mengatasi pengkalan data kemiskinan yang kurang bersepadu sebelum ini.
Sementara itu Mustapa turut mengadakan lawatan ke Kampung Seberang Sebuyau bagi meninjau enam daripada 15 keluarga miskin tegar di lokasi berkenaan yang layak menerima bantuan di bawah program itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!