Pemenang pingat Sukan SEA, Para ASEAN nikmati kenaikan elaun
[DIKEMAS KINI] Pemenang pingat perak dan gangsa bagi pada Sukan SEA/ Para Asean bakal menikmati kenaikan kadar elaun bulanan sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Januari lalu.
Menerusi ciapan di laman Twitter miliknya pada Rabu, Ahmad Faizal menegaskan, kenaikan elaun itu diharap dapat meningkatkan prestasi atlet dari semasa ke semasa dan terus mengharumkan nama negara di mata dunia.
“Sepertimana yang pernah saya umumkan pada Januari lalu, pemenang pingat perak, pingat gangsa Sukan SEA/ Para Asean akan menerima kadar elaun bulanan yang telah dinaikkan.
“Oleh itu, apa yang paling dituntut daripada atlet semua ketika ini ialah sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
“Syabas kontinjen Malaysia! Syabas sekali lagi saya ucapkan kepada wira dan wirawati negara yang telah berjaya mengharumkan nama negara di Temasya Sukan SEA Vietnam 2021,” katanya pada ciapan berkenaan.
Untuk rekod, kadar elaun bulanan kepada atlet yang memenangi pingat emas adalah RM2,000, manakala RM1,500 (kenaikan daripada RM800 sebulan kepada pemenang pingat perak) dan RM1,000 (kenaikan daripada RM800 sebulan kepada pemenang pingat gangsa).
Sementara itu, Ahmad Faizal berharap agar para atlet negara dapat meneruskan usaha untuk mengharungi Sukan Komanwel Birmingham 2022 Julai depan.
“Misi kita seterusnya adalah untuk persiapan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Julai ini.
“Teruskan latihan dan terus berjuang! Teruskan usaha untuk mengharumkan nama negara di mata dunia,” katanya lagi pada ciapan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!