LRT Laluan Kelana Jaya dalam proses penambahbaikan

Ka Siong ketika sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Ka Siong ketika sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya sedang dalam proses penambahbaikan dan pemulihan selepas lebih dua dekad perkhidmatannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses itu menelan belanja RM800 juta membabitkan pengubahsuaian separuh hayat 28 set tren jenis 818.

"Sudah tiba masanya kita buat 'overhaul' bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan yang memberi kesan kepada pengguna," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata tren jenis 818 mengalami penurunan prestasi dan beberapa insiden direkodkan sejak akhir-akhir ini.

"Proses penambahbaikan dan pemulihan merupakan langkah penting untuk melanjutkan usia dan jangka hayat tren yang sudah beroperasi antara 14 dan 15 tahun," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, di sini pada Rabu.

Ka Siong berkata, semasa tempoh penambahbaikan ini, kekerapan tren adalah sekitar empat minit berbanding 2.5 minit sebelum ini.

"Sekarang kita beroperasi dengan kekerapan tiga minit dan empat minit ketika penyenggaraan sedang dibuat sebelum kembali ke masa ideal, 2.5 minit beberapa bulan selepas itu," katanya.

Mengulas mengenai pelanggaran tren di dalam terowong bawah tanah antara Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru pada 24 Mei tahun lalu, Ka Siong berkata, sebanyak 16 daripada 23 inisiatif penambahbaikan yang disyorkan telah dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Rail.

"Prasarana dan Rapid Rail ketika ini sedang melaksanakan tujuh lagi inisiatif jangka panjang yang dijangka selesai akhir tahun ini," katanya.

Menurutnya, kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau rapi perkembangan terhadap usaha tersebut.

"Bagi memantapkan inisiatif sedia ada, Prasarana dan Rapid Rail telah menambah tiga lagi langkah penambahbaikan yang turut merangkumi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Pusat Arahan Operasi (OCC) yang siap pada 27 Julai 2021," katanya.

Ka Siong berkata, pemasangan CCTV itu telah meningkatkan tahap boleh lihat (vasibility) penanda sektor landasan di dalam terowong," katanya.

Selain itu, Prasarana dan Rapid Rail telah menaik taraf sepenuhnya sistem komunikasi radio kepada digital bermula pada suku keempat 2022.

"Secara keseluruhan, kementerian memperuntukkan RM450 juta bagi inisiatif-inisiatif penambahbaikan ini," katanya.

Pada 24 Mei 2021, pertembungan tren LRT itu telah mencederakan 213 penumpang termasuk 166 penumpang yang mengalami kecederaan ringan dan 47 lagi cedera parah.

Ia merupakan kejadian pertama seumpamanya sepanjang 23 tahun perkhidmatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!