'Feyenoord, Roma miliki gaya permainan sama'

Arne Slot - Foto AFP
Arne Slot - Foto AFP
A
A
A
FEYENOORD Rotterdam menjangkakan tiada sebarang kejutan daripada AS Roma apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan akhir Liga Konferensi di Tirana, Albania awal pagi Khamis.

Malah menurut pengendali Feyenoord, Arne Slot, pihaknya telah melakukan analisis perlawanan melibatkan semua perlawanan kelab Serie A kendalian Jose Mourinho itu menjelang perebutan kejuaraan tahap tiga kelab Eropah tersebut.

"Sejujurnya kami tahu apa yang dimahukan pasukan sama seperti AS Roma dalam perlawanan akhir ini. Ya, kadang-kadang jurulatih melakukan perubahan taktikal bagi memantapkan pasukan pada saat-saat akhir.

"Tetapi kami telah melihat banyak perlawanan AS Roma, jadi kami harap telah bersedia dengan cara yang betul ... Sejujurnya Feyenoord dan AS Roma memiliki gaya permainan yang sama," katanya.

Untuk rekod, Feyenoord merupakan adalah satu-satunya pasukan yang belum tewas sejak peringkat kumpulan apabila melakar lapan kemenangan dan empat seri.

Kelab yang mengakhiri saingan Eredivisie di kedudukan ketiga musim ini sedang berusaha menjadi kelab Belanda pertama yang memenangi kejuaraan Eropah dalam tempoh 20 tahun, sejak menewaskan Borussia Dortmund dalam perlawanan akhir Piala UEFA pada 2002.

Sementara itu, Slot meletakkan sandaran kepada kecemerlangan Justin Bijlow dalam mengemudi pasukan itu berdepan asakan sensasi Serie A tersebut.

Menurut Slot, kehadiran semula penjaga gol Belanda berusia 24 tahun tersebut bersama De Trots van Zuid akan memperkukuhkan benteng terakhir kelab.

"Segalanya berjalan lancar dengan Bijlow... Dia telah berlatih bersama skuad selama seminggu tanpa masalah...," kata Slot.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!