Mohd Zaqhwan, Adam Norrodin idam status podium
DUA pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Adam Norrodin menyasarkan kedudukan podium dalam kategori Asian Superbikes 1000cc (ASB1000) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
Mohd Zaqhwan berkata, beliau akan memberikan aksi terbaik dalam pusingan kali ini dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh membuatkanya gagal mengumpul mata.
“Sasaran saya di Sepang untuk menang dan berada di podium, saya cuba memberikan yang terbaik dan kekalkan momentum seperti bertanding di Litar Antarabangsa Chang, Thailand kerana saya hampir mendapatkan dua kemenangan.
“Namun saya perlu bersedia dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sini, saya harap cuaca kering akan membuatkan saya lebih yakin,” katanya ketika ditemui di Program Promosi ARRC 2022 di Pusat Sukan UiTM di Shah Alam, pada Rabu.
Pelumba Honda Asia-Dream Racing Team with Showa itu berjaya memenangi perlumbaan pertama kategori ASB1000 ARRC 2022 di Thailand baru-baru ini membabitkan 13 pusingan sejauh 59.202 kilometer (km) dengan catatan masa 21 minit dan 04.947 saat (s).
Pelumba berusia 27 tahun itu berkata, untuk aksi kali ini pelbagai strategi akan dirancang bagi memastikan sasaran untuk menang di tempat sendiri itu menjadi kenyataan.
“Saya perlu melihat pada kelebihan-kelebihan pesaing saya dan dari situ saya boleh menyusun strategi,” katanya yang teruja untuk bertanding di Litar Sepang.
Sementara itu, Adam yang berpengalaman dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan Kejuaraan Eropah (CEV) berkata Litar Sepang banyak mencatatkan kenangan manis buatnya dan berharap ia mampu menyuntik semangatnya bagi memburu kemenangan.
“Saya mengharapkan sekurang-kurangnya podium untuk pusingan kali ini. Walaupun banyak saingan, dari Mohd Zaqhwan, pelumba Thailand, pelumba Jepun, saya cuba untuk berusaha dengan lebih gigih dalam perlumbaan minggu ini.
“Saya sangat teruja, Litar Sepang merupakan rumah kedua saya. Saya menjalani latihan juga di sini, lama sangat saya di sini,” kata pelumba berusia 23 tahun yang akan membuat penampilan bersama OneXOX BMW TKKR Racing dalam kejohanan itu.
Kedua-dua wakil negara itu berharap orang ramai dapat datang ke Litar Antarabangsa Sepang, bagi memberi sokongan kepada semua pelumba negara yang bertanding dari 27 hingga 29 Mei. Masuk adalah percuma. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!