Penguasaan bahasa Melayu Sam Lim membanggakan
AWAL minggu ini, kemenangan ketua Parti Buruh, Anthony Albenese dalam Pilihan Raya Persekutuan Australia mendapat liputan kebanyakan media antarabangsa kerana menyingkirkan pentadbiran Perdana Menteri, Scott Morrison.
Di Malaysia, kemenangan Parti Buruh turut mendapat perhatian kerana dua calonnya, Penny Wong dan Sam Lim dilahirkan di negara ini.
Penny yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dilantik sebagai Menteri Luar dan Sam Lim pula, anak kelahiran Kampung Parit Zin, Muar, Johor dipilih sebagai ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Perth di Tangney.
Berbeza dengan Penny yang mengikuti ibunya ke Australia ketika usia lapan tahun pada 1976, Sam Lim pula berhijrah ke negara itu pada 2002.
Lebih membanggakan, Sam Lim yang merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berkhidmat sebagai pegawai polis di Australia Barat mampu mengekalkan penguasaan bahasa Melayu dengan baik dan lancar.
Ia dibuktikan menerusi satu rancangan temu bual di Radio Melayu Perth yang ke udara kira-kira tiga bulan lalu. Sam Lim, 61, langsung tidak menggunakan bahasa rojak atau slanga walaupun temu bual itu berlangsung cukup santai.
Merak Jalanan sengaja menulis kisah Sam Lim kerana bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di negara ini semakin disisihkan. Ia dirosakkan gara-gara penggunaan bahasa rojak, bahasa pasar mahupun bahasa asing.
Tak perlu pergi jauh, lihat sahaja drama tempatan kita. Judul dramanya juga terang-terangan merosakkan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang sebenar-benarnya itu semakin diabaikan.
Malah, dalam program hiburan sendiri, sesetengah artis dilihat lebih memilih bertutur dalam bahasa Inggeris. Memang tak pandai berbahasa Melayukah?
Apa pun, jangan jadi seperti teman Merak Jalanan yang satu ini. Dia baru tiga hari di London tetapi sudah sukar menyebut perkataan bubur. ‘Buhbuh’– buruk dan pelik benar bunyinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!