Pro dan kontra henti eksport ayam

Setiap bulan negara mengeksport sekitar 3.6 juta ekor ayam ke luar negara. - Foto Bernama
Setiap bulan negara mengeksport sekitar 3.6 juta ekor ayam ke luar negara. - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN drastik kerajaan menghentikan eksport ayam mulai Jun ini membolehkan kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipulihkan.

Ia berikutan setiap bulan negara mengeksport sekitar 3.6 juta ekor ayam ke luar negara.

Walaupun langkah kerajaan itu kurang digemari pihak industri, selain dikritik beberapa pihak yang menyifatkan ia sebagai langkah tergesa-gesa, namun keputusan perlu diambil memandangkan situasi ketika ini benar-benar membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan tersebut adalah antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan oleh mesyuarat kabinet pada Isnin lalu bagi menangani masalah bekalan dan harga ayam.

Selain itu, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Turut digariskan adalah pemansuhan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam, mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam dan menambah serta mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara.

Apa pun, langkah menghentikan eksport ayam dan pemansuhan AP bukanlah langkah penyelesaian yang sebenar.

Malah, pemansuhan AP untuk import ayam bulat dijangka kurang mendapat sambutan kerana sebab yang sama iaitu harga ayam global lebih mahal.

Demi menyelesaikan kekurangan bekalan ayam, pihak kerajaan seharusnya memahami masalah sebenar dan berusaha membantu golongan penternak tempatan mencari penyelesaian menang-menang.

Sementara itu, pada Selasa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menenangkan pemain-pemain industri yang kecewa dengan keputusan larangan eksport ayam berkenaan.

Beliau memberitahu larangan eksport ayam bukan langkah jangka panjang, sebaliknya ia akan dibenarkan semula selepas keadaan bekalan negara kembali pulih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!