Perhalusi cadangan kurangkan kesesakan jalan raya
TIDAK dinafikan, kehidupan di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang mempunyai banyak kelebihan dari segi peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.
Namun setiap kelebihan itu mempunyai ‘nilai’ yang perlu dibayar oleh masyarakat, namun tidak terhad kepada wang ringgit.
Di samping isu kos sara hidup tinggi dan peningkatan harga barangan asas di pasaran, kesesakan lalu lintas juga menjadi asam garam yang terpaksa dihadapi masyarakat masa kini.
Melihat situasi terkini, peningkatan jumlah kenderaan di dua kawasan tersebut dikatakan lebih tinggi berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan ekoran pengguna jalan raya lebih gemar memandu kenderaan sendiri untuk ke destinasi pilihan.
Pelbagai langkah penyelesaian telah disuarakan, antaranya Pakar Keselamatan Jalan Raya, Porfesor Madya Dr Lew Teik Hua yang mencadangkan kerajaan menyediakan kenderaan mikro mobiliti seperti motosikal elektronik khusus di kawasan sering berlaku kesesakan.
Katanya, penggunaan jenis kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik itu mampu memudahkan orang ramai untuk ke lokasi berhampiran tanpa perlu memandu kereta.
Dalam pada itu, Teik Hua turut menyarankan agar kerajaan membina lebih banyak tempat letak kenderaan di terminal pengangkutan awam luar bandar bagi menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan itu.
Tidak terhad kepada kerajaan, syarikat swasta juga turut berperanan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lembah Klang.
Antara cadangan dikemukakan adalah mengguna pakai semula polisi bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor yang tidak memerlukan perjumpaan secara bersemuka dengan pihak luar.
Selain dapat mengurangkan kos, waktu dan tenaga, polisi berkenaan juga dilihat mampu membantu dalam kesihatan mental dan emosi pengguna jalan raya.
Justeru apa juga cadangan dan pandangan yang dikemukan mengenai cara mengatasi kesesakan jalan raya, harus diambil kira dan diperhalusi sebaiknya oleh pihak yang terlibat agar rakyat dapat menjalani kehidupan lebih sihat dari segi mental dan fizikal.
Secara tidak langsung, kualiti kerja dapat dipertingkatkan, sekali gus memberi nilai tambah kepada majikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!