Audit MAPS: Bukan serangan politik ke atas Zambry

Zhemin menunjukkan salinan kenyataan akhbar berkaitan persoalan yang perlu dijawab Zambry ketika sidang media tersebut.
Zhemin menunjukkan salinan kenyataan akhbar berkaitan persoalan yang perlu dijawab Zambry ketika sidang media tersebut.
A
A
A

IPOH - Desakan supaya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjawab beberapa persoalan mengenai hasil audit dalaman terhadap Taman Tema Animasi Studio (MAPS) bukan serangan politik.

Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB) Chong Zhemin berkata, persoalan yang ditimbulkan itu hanya untuk mendapatkan penjelasan Zambry selaku bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berhubung peningkatan kos operasi MAPS daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Katanya, tanggungjawab secara kolektif juga perlu dipikul oleh Ahli Lembaga Pengarah PCB sebelum ini berhubung hasil audit dalaman yang dibuat.

"Ini bukan satu serangan politik. Kita hanya bertanyakan soalan. Kita sudah cakap audit dalaman ini belum dapat kesimpulan bahawa terdapat apa-apa kesalahan. Tetapi kita ada banyak soalan yang kena tanya dan soalan ini kita tanya mengapa buat macam ini.

"Jika soalan ini terus tidak dijawab, pada hari pertama Sidang DUN pada April ini, saya akan serahkan 23 kenyataan yang tidak dijawab berkaitan isu MAPS kepada Zambry," katanya pada dalam sidang media di Hotel Casuarina @ Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Eksekutif Animation Theme Park Sdn Bhd, Mohamed Shafeii Abd Ghaffor; Ketua Audit Dalaman PCB, Annas Asqalanee Ab Ghafar dan Adun Bercham, Ong Boon Piow.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa Zambry tidak perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan kerana sebarang keputusan tertakluk Lembaga Pengarah dan Zambry bukanlah pengerusi PCB.

ARTIKEL BERKAITAN Zambry digesa beri penjelasan isu kenaikan kos MAPS

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Zhemin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak memaklumkan laporan audit dalaman itu sudah dihantar ke PAC malah PAC juga sudah melantik firma audit terkemuka, PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menjalankan audit forensik ke atas MAPS.

Sementara itu, Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng yang dihubungi Sinar Harian berkata, laporan audit dalaman yang diserahkan kepada PAC hanya digunakan sebagai rujukan.

Katanya, sebarang tindakan susulan memanggil mana-mana individu hanya dibuat selepas laporan audit forensik oleh PwC siap dan diserahkan kepada PAC.

Beliau berkata, setakat ini belum ada keperluan memanggil mana-mana pihak tambahan siasatan ke atas Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) juga masih belum selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!