Pencapaian bersejarah...
PENGENDALI AS Roma, Jose Mourinho menyifatkan status pengurus merangkul lima kejuaraan utama Eropah merupakan pencapaian bersejarah sepanjang kariernya.
"Perkara yang hebat mengenai karier saya selain kejuaraan Liga Europa bersama Manchester United, adalah mencipta sejarah bersama FC Porto, Inter dan terkini paling teristimewa bersama AS Roma.
“Ia adalah satu perkara yang biasa untuk menang apabila semua orang menjangkakan setelah AS Roma membuat pelaburan untuk menang, tetapi agak lain untuk menang apabila sesuatu terasa abadi di jiwa, itu terasa benar-benar istimewa.
"Ini kekal dalam sejarah AS Roma juga sejarah saya. Saya diberitahu hanya saya, Sir Alex (Ferguson) dan Giovanni Trapattoni memenangi trofi dalam tiga dekad berbeza. Ia membuatkan saya berasa agak tua, tetapi ia bagus untuk kerjaya saya," kata Mourinho.
Aksi di Tirana, Albania itu menyaksikan gol tunggal jaringan Nicolo Zaniolo minit ke-32 membolehkan AS Roma merangkul kejuaraan Eropah utama pertama dalam tempoh lebih 60 tahun selepas menang 1-0 ke atas Feyenoord dalam perlawanan akhir Liga Konferensi.
Kemenangan itu juga sekali gus melengkapkan koleksi trofi kejuaraan Eropah unik Mourinho yang sebelum ini memenangi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala UEFA bersama empat kelab berbeza di Porto, Inter Milan dan Manchester United sebelum ini.
Kejayaan Mourinho itu juga merupakan penamat yang baik untuk musim pertamanya bersama kelab sensasi ibu negara Itali, setelah mengemudi pasukannya ke tempat keenam dalam Serie A musim ini.
Pengendali Portugal itu juga menegaskan tidak bercadang untuk mencari cabaran baharu apabila sudah pun melihat perancangan musim depan bersama kelab tersebut.
“Sekarang saya kekal di ibu kota bola sepak Itali, tidak ada keraguan walaupun timbul beberapa khabar angin sebelum ini, pastinya saya hanya mahu kekal di Roma.
"Kami harus faham yang pemilik AS Roma merupakan orang hebat dan fantastik serta mahu melakukan terbaik pada musim depan. Memori di Tirana ini kini sejarah, dan kami kini giat membina projek masa depan kelab bersama profesional yang jujur.
"Sudah tentu saya berasa amat teruja untuk tujuan tersebut, tetapi itu mungkin cara saya bekerja. Saya peminat Porto, peminat Inter, peminat Chelsea, saya tergila-gila dengan Real Madrid, saya kini peminat AS Roma, saya milik semua kelab-kelab itu kerana kami mempunyai memori indah bersama-sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!