Perarakan kebebasan tiba di Islamabad, tentera kawal bangunan penting
NEW DELHI - Kerajaan Pakistan menggesa tentera untuk melindungi bangunan-bangunan penting di Islamabad ketika konvoi "perarakan kebebasan" bekas perdana menteri Imran Khan berarak memasuki ibu negara, pada Khamis.
Beribu-ribu penyokong Imran dari pelbagai kawasan kini berada di Islamabad untuk menuntut pilihan raya baharu diadakan.
Protes turut diadakan serentak di beberapa kawasan lain termasuk di Karachi, Lahore dan Quetta.
Perarakan Azadi (kebebasan) itu anjuran parti Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran.
Pada Rabu tercetus pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di beberapa lokasi apabila pekerja dan pemimpin PTI cuba menyertai perarakan di Islamabad, lapor saluran televisyen Pakistan.
Pertempuran turut tercetus di bandar Lahore di Punjab.
Setelah gagal dalam percubaan untuk menghalang Imran dan perarakannya daripada sampai ke Islamabad, kerajaan persekutuan meminta bantuan tentera untuk mengawal bangunan penting di "Zon Merah".
"Jumlah sebenar tentera yang akan dikerahkan diuruskan pihak berkuasa Tentera Pakistan yang berunding dengan pihak pentadbiran bandar raya Islamabad," menurut pemberitahuan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 26 Mei.
Bangunan yang akan dikawal tentera termasuk Mahkamah Agung, Bangunan Parlimen, Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Presiden, Sekretariat Pakistan, bangunan televisyen negara Pakistan dan kawasan diplomatik.
Imran tiba di Islamabad pagi Khamis bersama ribuan penyokongnya selepas melalui perjalanan selama berjam-jam dari Swabi di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KPK) dan menempuh pelbagai sekatan jalan raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!