Pahang peruntuk RM35 juta tingkat kecekapan pengurusan banjir
KUANTAN - Kerajaan negeri akan memperuntukkan kira-kira RM35 juta untuk melaksanakan perolehan dan perbelanjaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu.
Menurutnya, antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut termasuk pembelian tiga bot amfibia, satu unit bot hovercraft dan pembinaan enam Pusat Pemindahan Banjir Kekal.
"Kerajaan negeri turut bersetuju untuk membina landasan pendaratan helikopter di Benta (Lipis), Kampung Rening (Cameron Highlands), Bandar Temerloh dan Lanchang (Temerloh) serta Chenor (Maran).
"Selain itu, kerajaan negeri juga bakal membeli instrumen Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (Cameron Highlands) dan Sistem Amaran Banjir (Raub)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, pembelian bot-bot menyelamat juga akan dibuat untuk ditempatkan di pejabat-pejabat penghulu selain pelaksanaan kursus khas pengurusan bencana banjir kepada petugas-petugas di peringkat daerah.
Tambah beliau, kerajaan negeri sedang menyelaras beberapa tindakan perolehan dan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan bencana banjir sentiasa lancar dan efisien.
"Bagaimanapun, pendekatan yang diambil berbeza berdasarkan keperluan dan permintaan di setiap daerah.
"Melalui perolehan dan perbelanjaan ini, semua pihak khususnya pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan diharap sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang situasi bencana yang berlaku pada bila-bila masa terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.
Beliau berkata, pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan perlu dibekalkan kelengkapan yang bersesuaian serta latihan dan ilmu yang sepatutnya kerana mereka terdedah kepada risiko besar ketika melaksanakan operasi bencana.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik keperluan dan kelengkapan sedia ada yang dibekalkan kepada petugas.
"Saya turut berdoa agar negeri Pahang dan rakyatnya sentiasa dilindungi oleh ALLAH SWT daripada sebarang musibah, wabak penyakit dan malapetaka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!