Kementerian Sumber Manusia tak guna khidmat orang tengah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan tiada individu, kumpulan atau 'orang tengah' dilantik sebagai perantara untuk menyelesaikan sebarang urusan berkaitan kementerian itu, jabatan atau agensi di bawahnya.

Merujuk kepada dakwaan bahawa terdapat pihak yang menyalahgunakan nama kementerian itu untuk mendapatkan keuntungan peribadi, KSM dalam kenyataan hari ini berkata sebarang urusan berkaitan perlu dilakukan terus di kementerian atau premis jabatan dan agensi terlibat.

Sebagai alternatif, katanya perkhidmatan atas talian KSM seperti ePPAx dan Portal JobsMalaysia 2.0 juga telah ditambah baik untuk kemudahan orang awam.

"Oleh itu, tidak timbul sebarang keperluan untuk melibatkan 'orang tengah' atau pun ‘perantara," katanya.

KSM turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai perantara terutamanya mereka yang mengenakan kos tertentu untuk urusan tersebut.

"KSM tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada mana-mana pihak yang telah mengeluarkan sebarang bayaran kepada perantara tersebut," katanya.

KSM berkata mana-mana individu yang telah menjadi mangsa disyorkan untuk segera membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai proses berurusan dengan KSM, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8886 5000 atau melalui e-mel ke ukkgp@mohr.gov.my (Unit Komunikasi Korporat). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!