Terbuka Perancis: Nadal tenang catat kemenangan ke-300
RAFA Nadal tampil bertenaga apabila memastikan kemenangan aksi ke-300 Grand Slamnya, setelah menyingkirkan pemain Perancis, Corentin Moutet 6-3, 6-1, 6-4 di Court Philippe Chatrier untuk menempah tempat ke pusingan ketiga Terbuka Perancis.
Bintang Sepanyol yang berstatus 13 kejuaraan Roland Garros daripada keseluruhan 21 kejuaraan utamanya - tertinggi dalam kalangan pemain lelaki, tampil aksi mempersonakan walaupun mengalami kecederaan teruk ketika beraksi di gelanggang tanah liat.
Pemain yang menginjak usia 36 tahun pada minggu depan itu tidak berminat untuk bercakap mengenai keadaan fizikalnya selepas kemenangan itu.
"Sejujurnya saya tidak boleh untuk pergi jauh dalam kejuaraan ini jika saya bimbang mengenai masalah fizikal saya setiap hari.
"Jadi jika sesuatu berlaku, saya akan menerimanya, namun buat masa ini saya fokus pada tenis," katanya.
Nadal bakal berdepan pilihan ke-26 Belanda, Botic van de Zandschulp dengan potensi mara ke suku akhir menentang pemain nombor satu dunia Novak Djokovic yang menewaskannya pada separuh akhir tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!