Isu Tak Bai: Polis Kelantan perketat kawalan sempadan
TUMPAT - Polis Kelantan akan memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini susulan insiden letupan bom dan berbalas-balas tembakan yang berlaku di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand pada Rabu malam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain itu pihaknya akan bertukar-tukar maklumat dengan pasukan keselamatan negara berkenaan berkait dengan insiden tersebut.
"Pertukaran maklumat ini penting bagi memastikan segala perancangan dan penugasan serta kawalan sempadan berada pada tahap terbaik.
"Tujuannya, kita mahu tahap keselamatan sempadan di negara ini berada dalam keadaan terbaik dan ketat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Menurutnya, Polis Kelantan percaya insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada warga tempatan yang terlibat dengan kejadian tersebut.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sebaik sahaja pintu sempadan dibuka Polis Kelantan terus memperketatkan kawalan.
Katanya, ia melibatkan dua lagi lapisan iaitu sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut di pintu sempadan negari.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, pekan Tak Bai dalam wilayah Narathiwat digegarkan dengan beberapa siri letupan bom selain kedengaran kejadian berbalas tembakan.
Kejadian kira-kira jam 10 malam tadi itu turut didengari dari arah Pengkalan Kubor, Tumpat yang terletak seberang dengan Pekan Tak Bai.
Beberapa video yang dirakam oleh orang awam tular di Facebook menunjukkan api marak selain beberapa lelaki melepaskan tembakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!