Peneroka Felda Jengka 24 guna dron pantau kecurian buah sawit
JENGKA - Peneroka Felda Jengka 24 di sini mengambil inisiatif untuk membendung kes kecurian buah sawit di kawasan rancangan tersebut berikutan kenaikan harga komoditi itu di pasaran.
Selepas menggunakan khidmat anggota Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) yang bertugas melakukan rondaan setiap malam bermula jam 11 malam hingga pagi beberapa bulan lalu, mereka memilih untuk menggunakan dron bagi tujuan tersebut.
Ketua Peneroka Felda 24, Razak Daud, 60, memberitahu, dron yang bernilai RM4,000 itu kini dalam tempoh percubaan dan dijangka boleh digunakan sepenuhnya dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Guna dron dilihat lebih efektif dan selain memantau sebarang aktiviti mencurigakan ia juga boleh digunakan untuk tujuan lain.
"Ia juga boleh membantu kita untuk mengesan pokok-pokok sawit yang tidak sihat, berpenyakit di dalam ladang milik peneroka.
"Selain itu, ia juga boleh mengesan jumlah pokok yang berlebihan kerana setiap ladang, ditanam 560 pokok bagi keluasan empat hektar sekali gus melakukan penebangan supaya ada penjarakan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, selain dron dan rondaan di dalam ladang, peneroka di situ juga telah memasang palang di setiap buah pintu masuk utama jalan ke ladang sawit serta menggali parit di laluan yang dipercayai kerap digunakan oleh individu yang mencuri buah sawit.
"Lori juga tidak dibenarkan masuk selepas jam 6 petang dan syukur, kes kecurian dilihat menurun berbanding sebelum ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!