Agong berkenan berangkat ke LIMA’ 19
LANGKAWI - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.
Seri Paduka yang berpakaian seragam tentera warna hijau tiba di MIEC, yang juga venue LIMA’19, pada 10.50 pagi.
Sejurus tiba Seri Paduka disambut Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Dalam lawatan itu, Sultan Abdullah berkenan melawat ruang pameran serta berkenan mencuba duduk di dalam kokpit pesawat tempur dan mencuba simulator-simulator pertempuran di udara yang turut dipamerkan.
Seri Paduka paduka turut berangkat melihat pertunjukan udara dari dek MIEC.
LIMA'19 yang akan berlangsung lima hari bemula semalam, akan mempamerkan pelbagai inovasi dan teknologi terbaharu pertahanan udara dan ketenteraan.
Sejumlah 406 syarikat - 206 tempatan dan 200 asing - kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA’19.
Selain Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertua Negeri SabahTun Juhar Mahiruddin, Yang di- Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob juga telah meluangkan masa untuk mengunjungi LIMA' 19 hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!