Pendaratan ikan di Terengganu dijangka meningkat tahun ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pendaratan ikan di Terengganu dijangka meningkat kepada 34,000 tan metrik pada tahun ini berbanding 31,123 tan metrik yang direkodkan sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya optimis dengan sasaran itu kerana jumlah pendaratan ikan telah mencecah lebih 11,837 tan metrik sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

"Ia peningkatan sebanyak 16.32 peratus berbanding lebih 10,177 tan metrik yang direkodkan sepanjang tempoh sama tahun lepas.

"Kemasukan semula pekerja asing dalam industri perikanan juga membantu meningkatkan lagi jumlah pendaratan ikan kerana lebih banyak vesel di zon C serta C2 dapat beroperasi seperti biasa," katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri jabatan itu, pada Khamis.

Menurutnya, ketika ini terdapat 8,635 nelayan dan 2,798 vesel berdaftar dengan jabatan itu serta terdapat hampir 30 jeti pendaratan di seluruh negeri ini.

Ruzaidi berkata, bekalan dan harga ikan juga masih stabil di Terengganu namun pihaknya menjangka permintaan terhadap sumber marin itu akan meningkat dalam masa terdekat.

"Rakyat akan menjadikan ikan sebagai alternatif hidangan menu harian setelah harga ayam meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini. Oleh itu, saya berharap semua pihak terutama orang tengah tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ikan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!