Banjir kilat: Pengguna jalan raya mahu penyelesaian konkrit

Kesan banjir kilat pada Rabu masih boleh dilihat di Taman Rekreasi Western Park pada Khamis.
Kesan banjir kilat pada Rabu masih boleh dilihat di Taman Rekreasi Western Park pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Pengguna jalan raya mendesak penyelesaian konkrit bagi mengatasi isu banjir kilat di Setia Alam di sini.

Dakwa mereka, walaupun kejadian banjir kilat pada Rabu disebabkan keadaan cuaca dan jumlah taburan hujan luar biasa namun jalan penyelesaian perlu difikirkan bagi mengelakkan kejadian berulang di kawasan tersebut.

Ia berikutan mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan kenderaan yang terkandas dalam banjir.

Penghantar makanan, Norazman Mohd Zawawi, 25, berkata, dia pernah terkandas dalam kejadian banjir kilat awal tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Meru ke Setia Jaya.

"Hujan lebat menyebabkan separuh bahagian motosikal tenggelam, akibatnya semua kerja tergendala sehingga kenderaan itu dibaiki semula.

"Saya bernasib baik kerana tidak bekerja semalam (Rabu) namun ramai juga rakan-rakan lain terkandas di laluan sekitar Meru dan Setia Alam kerana banjir kilat," katanya kepada Sinar Harian di Setia Alam di sini pada Khamis.

Seorang lagi penghantar makanan, Muhammad Azril Hakim Abd Rashid, 30, pula berharap kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan tidak berulang di masa depan dan mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan tindakan sekurang-kurangnya cuba menangani impak bencana seumpamanya daripada terus berlaku.

"Saya tidak pasti puncanya dari mana, tapi inilah yang kami hadapi, jadi minta pihak berwajib buatlah sesuatu penambahbaikan dari segi perparitan dan sebagainya.

"Di Setia Alam kawasan perumahan tidak terjejas sangat namun beberapa laluan jalan utama akan dipenuhi air jika hujan lebat lebih sejam sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas," katanya.

Pada Rabu, hujan lebat yang melanda di sekitar Setia Alam mengakibatkan lima laluan utama dilanda banjir kilat iaitu di Persiaran Setia Perdana, Setia Prima, Setia Alam, Setia Impian dan Setia Indah.

Antara kawasan perumahan dinaiki air pula ialah Taman Setia Impian dan Taman Setia Indah manakala air tasik di Taman Rekreasi Western Park turut melimpah sehingga ke jalan utama berhampiran.

Sementara itu, seorang penduduk yang terjejas mendakwa, banjir kilat di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada masalah sistem perparitan yang tersumbat.

"Kita dapat lihat sampah memenuhi jalan utama dan kawasan perumahan yang terjejas dengan banjir kilat pada Rabu apabila air mulai surut hari ini.

"Kalau longkang tidak tersumbat risiko banjir kilat ini dapat dikurangkan dan mungkin dapat diatasi sepenuhnya jika sistem perparitan dinaik taraf menjadi lebih baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!