Kedah sasar 600 tan metrik Harumanis D' Aman menjelang 2025
YAN - Kedah menyasarkan pengeluaran 600 tan metrik Harumanis D' Aman menjelang 2025 dengan keluasan 200 hektar tanaman bagi menampung permintaan pasaran.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika ini pengeluaran yang dicatatkan hanya sekitar 60 tan metrik semusim sekali gus tidak boleh menampung permintaan tinggi dalam kalangan peminat buah tersebut.
"Ikut keluasan negeri ini, saya yakin menjelang 2025 kita dapat capai sasaran itu, bukan susah batas bendang tepi dangau pun boleh tanam," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penjenamaan Harumanis Negeri Kedah di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di sini pada Khamis.
Menurutnya, cuaca dan jenis tanah di Kedah sangat sesuai untuk penanaman buah terbabit.
"Semua daerah sesuai, tetapi yang banyak kawasan lapang dan ada tanah yang luas adalah di Kubang Pasu dan Padang Terap.
"Jadi kepada yang berminat mereka boleh merujuk kepada jabatan pertanian untuk dapatkan benih, baja dan racun yang bersesuaian," katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, nama Harumanis D' Aman ini diperoleh hasil daripada Pertandingan Cadangan Nama Harumanis Negeri Kedah pada 21 April lalu.
"Saya harap penjenamaan di sini akan melonjakkan pasaran harumanis yang pada saya kualiti, kelazatannya adalah spesies harumanis terbaik pernah temui di Kedah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!