Faktor kecederaan buku lali jejas persembahan

IMBAS KEMBALI...Nauraj Singh beraksi dalam pusingan akhir pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium My Dinh National Stadium, Hanoi. - Foto Bernama
IMBAS KEMBALI...Nauraj Singh beraksi dalam pusingan akhir pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium My Dinh National Stadium, Hanoi. - Foto Bernama
A
A
A

FAKTOR kecederaan di buku lali sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa yang sekadar meraih pingat perak di Sukan SEA Hanoi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata, biarpun telah cuba mempamerkan aksi terbaiknya, namun nasib mungkin tidak menyebelahinya apabila mengalami kecederaan dua minggu sebelum bermulanya temasya dwitahunan itu.

“Saya telah lalukan yang terbaik tetapi ada banyak perkara yang tidak berjalan lancar seperti yang saya harapkan...terutamanya kerana saya mengalami kecederaan buku lali dua minggu sebelum ini dan saya tidak melompat semasa latihan.

“Namun, saya yakin dan tidak sabar tetapi akhirnya gagal melakukan sebagaimana yang saya impikan seperti apa yang difikirkan dan terpaksa memakan ubat untuk menahan sakit,” katanya kepada pemberita selepas program penghargaan Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) kepada atlet pada Khamis.

Beliau ketika ini masih mendapatkan rawatan pakar fisioterapi untuk memulihkan kecederaannya dan berehat daripada melakukan sebarang latihan.

Kegagalan Nauraj menyaksikan Malaysia tidak mampu mengekalkan dominasi dalam acara lompat tinggi lelaki Sukan SEA.

Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat emas lompat tinggi lelaki dalam setiap edisi Sukan SEA sejak 1977, kecuali pada Sukan SEA 2005 di Manila yang menyaksikan Nguyen Duy Bang dari Vietnam meraih emas.

Sementara itu, atlet heptatlon negara Norliyana Kamaruddin tekad untuk terus berusaha memperbaiki mutu persembahannya bagi kejohanan yang akan datang walaupun berbangga dengan pencapaiannya di Sukan SEA ke-31.

“Saya 100 peratus tidak kecewa walaupun warna pingat bertukar daripada perak kepada gangsa kali ini kerana selepas memecah rekod kebangsaan pada 2017, saya tidak pernah pecah rekod lagi, jadi sudah semestinya saya rasa ini yang terbaik,” katanya.

Atlet berusia 31 tahun itu meraih gangsa dengan mata keseluruhan 5,262, manakala wakil tuan rumah Nguyen Linh Na (5,415) dan Sarah Dequinan (5,381) dari Filipina masing-masing meraih emas dan perak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!