Pindaan perkemas pentadbiran persatuan, NGO berkaitan sukan
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka beberapa pindaan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memperkemas pentadbiran persatuan sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sukan.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pindaan itu juga bertujuan meningkatkan mutu budaya profesionalisme bagi lebih 11,000 persatuan yang didaftarkan di bawah Akta 576 sejak tahun 1998 hingga 31 Disember tahun lepas.
"Masih banyak perkara yang perlu ditambah baik iaitu dari segi pengurusan, tatacara pentadbiran dan kewangan demi kepentingan pembangunan industri sukan dan penambahbaikan kebajikan atlet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Liga Super Bola Jaring 2022 (NSL) di Studio Astro, Bukit Jalil pada Rabu.
Beliau berkata pihaknya juga bercadang mengadakan Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan baharu meliputi Tatacara Pindaan Perlembagaan Badan Sukan; Penggantungan dan Pembatalan Pendaftaran Badan Sukan; Tugas, Fungsi dan Kuasa Badan Sukan serta Maklumat Yang Kena Diberikan.
Sementara itu, Lian Ker berkata, KBS bersedia membantu pihak Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dalam memacu dan melestarikan pembangunan sukan wanita di negara ini.
Mengenai NSL 2022 yang bakal membuka tirai bulan depan, Presiden PBJM Alwiyah Talib berkata pertandingan itu bakal dijadikan medan terbaik memilih pemain menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia yang dijadual berlangsung September depan.
Beliau berkata, NSL yang dianggap sebagai pemanas badan bagi skuad bola jaring kebangsaan, bakal menyaksikan pertukaran format baharu iaitu secara liga sepusingan berbanding secara berkumpulan pada tahun lepas.
Saingan NSL akan menyaksikan lapan pasukan berentap selama empat minggu bermula 3 hingga 26 Jun di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.
Liga Super Bola Jaring 2022
1. KL Wildcats
2. Johor Jewels
3. Selangor Angels,
4. Perak Phoenix
5. Kedah Sunshine,
6. Negeri Sembilan Venoms
7. Pahang Tulips
8. Melaka Mystic
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!