Pakai tali pinggang belakang bukan peraturan remeh
MELAKA TENGAH - Pematuhan peraturan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dianggap masih lemah dalam kalangan pengguna jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, walaupun sudah 10 tahun peraturan mengenainya dikuatkuasakan sejak Januari 2009, namun operasi yang dijalankan mendapati kadar nisbah agak tinggi apabila 10 kenderaan diperiksa, satu daripada penumpang belakang tidak memakai tali pinggang.
Menurutnya, kegagalan mereka berbuat demikian kerana menganggap penggunaan alat keselamatan itu hanya peraturan remeh yang tidak memberikan sebarang impak terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
"Tindakan tegas boleh diambil dengan mengenakan saman jika didapati penumpang belakang gagal mematuhi peraturan.
"Ingin saya ingatkan kepada semua penumpang tempat duduk bahagian belakang agar menggunakan tali pinggang keledar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Operasi Khas Pengarah, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri Mohamad Nor Hishammudin Mohamad Zin, di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Merlimau, di sini, hari ini.
Tambahnya, daripada 400 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu, sebanyak 38 kenderaan telah diberikan teguran dan advokasi.
Menurutnya, kesalahan tidak memiliki lesen memandu adalah yang tertinggi direkodkan dengan sebanyak 12 kesalahan, dan masing-masing lapan kesalahan adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
"Dalam masa sama sebanyak tiga motosikal turut disita dan sembilan notis arah periksa turut dikeluarkan selepas mendapati kenderaan terbabit melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi," katanya.
Operasi selama kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut disertai JKJR, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis trafik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!