Liverpool perlu beraksi dengan cara sendiri: Klopp
KESEBELASAN Liverpool diingatkan untuk sentiasa beraksi dengan ‘cara sendiri’ agar tidak terlalu tertekan menjelang aksi final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid pada Ahad.
Mengurut pengendali The Reds, Jurgen Klopp selama ini skuad kendaliannya itu dilihat banyak terpengaruh dengan rentak lawan hingga adakalanya hampir mengundang padah pada penghujung perlawanan.
Justeru katanya, sudah tiba masanya kesebelasan pemain beraksi dengan ‘cara sendiri’ dalam usaha menjamin kejayaan pada aksi final berkenaan.
“Saya percaya kita ada cara tersendiri yang lebih baik berbanding rentak lawan dan itu merupakan perkara paling penting untuk kita lakukan pada final kali ini.
“Sebelum ini, kita sering terikut-ikut malah meniru rentak lawan yang nyata tidak memberikan faedah dan malah hampir mengundang padah.
“Oleh itu mulai sekarang, mereka (pemain) hanya perlu beraksi mengikut cara permainan tersendiri dan tidak terlalu terpengaruh atau terikut-ikut dengan rentak lawan,” katanya.
Untuk rekod, aksi berdepan Real Madrid di pentas final Liga Juara-Juara Ahad ini merupakan kali pertembungan kali kedua buat kedua-dua pasukan sejak final 2017/18 lalu yang menyaksikan The Reds tewas 1-3.
Sementara itu Klopp berkata, aksi final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid pada Ahad dilihat sebagai medan terbaik buat Liverpool membalas ‘dendam’ atas kekalahan kepada lawan sama pada aksi final edisi 2018 lalu.
Malah menurut Klopp, dia mahu memastikan skuad kendaliannya itu mencatatkan kemenangan dan meraih trofi ketiga musim ini.
“Kita pernah beraksi dengan mereka (Real Madrid), kami tewas (final Liga Juara-Juara 2018). Oleh itu apa yang anda semua jangkakan untuk aksi final kali ini?
“Kita telah berdepan dengan Madrid di Kyiv, kami menang di Madrid, tetapi di stadium berbeza (Estadio Metropolitano) dan kini kita berdepan mereka (Real Madrid) sekali lagi.
“Setiap kali beraksi di final Liga Juara-Juara, mereka sudah pasti akan terlibat. Kini kita mahu membetulkan semula keadaan dan memastikan kemenangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!