Medvedev azam mara lebih jauh
BINTANG tenis Rusia, Daniil Medvedev berazam untuk mara lebih jauh setelah mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis 2022 dengan menewaskan pemain Serbia, Laslo Djere di Roland Garros, pada Jumaat.
Medvedev, yang beraksi menggunakan bendera neutral pada kejohanan itu berkata, dia juga mahu mencatatkan kejayaan setelah dikecewakan Stefanos Tsitsipas di suku akhir.
“Kali ini, saya mahu memanfaatkan sebaiknya peluang untuk mara lebih jauh pada Terbuka Perancis dan seterusnya menebus kekalahan saya tahun lalu.
“Mungkin saya akan bertemu sekali lagi dengan Tsitsipas dan ini merupakan peluang untuk saya menebus kekekalahan saya, sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Medvedev pada Terbuka Perancis adalah ketika mara ke suku akhir pada edisi 2021 lalu sebelum tewas kepada Stefanos Tsitsipas, 3-6, 6-7 (3-7), 5-7.
Medvedev yang juga pemain nombor dua dunia ketika ini mencatatkan kemenangan 6-3, 6-4, 6-3 bagi menewaskan Djere dan sekali gus mengesahkan slot ke pusingan ketiga dan dijadualkan berdepan pemain Serbia yang juga pemain pilihan ke-28 kejohanan, Miomir Kecmanovic pada pusingan ketiga nanti.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas Djere, Medvedev berkata, dia gembira kerana berjaya mara ke pusingan ketiga biarpun menerima tentangan sengit daripada Djere.
“Saya akui agak sukar untuk menewaskan Djere yang bermain dengan cukup baik di gelanggang tanah liat.
“Pergerakannya pantas..namun saya gembira kerana berjaya menyainginya dan seterusnya memenangi perlawanan ini untuk ke pusingan ketiga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!