Malaysia vs Brunei: Polis perketat kawalan keselamatan di stadium
KUALA LUMPUR - Polis memperketat penugasan keselamatan dan lalu lintas sepanjang perlawanan persahabatan Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, penugasan kawalan di dalam dan luar stadium ini bermula pada jam 6.30 petang bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium.
"Petugas akan memeriksa badan mahu pun beg yang dibawa penonton. Penonton yang tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan memasuki stadium.
"Penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun dan bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis serta pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras selain payung atau tongkat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan yang telah ditetapkan.
Katanya, bagi memastikan kelancaran trafik, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium dan patuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas.
"Orang ramai diingatkan sama sekali untuk tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium kerana tindakan saman dan tunda akan diambil ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas," ujarnya.
Dalam pada itu, kawalan ini turut diperketat pada perlawanan akan datang dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun 2022 sehingga tamat perlawanan kumpulan E di SNBJ.
Jelasnya, penonton juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu mahu pun selepas perlawanan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9205 0222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!