'Lupakan kisah Sukan SEA, fokus Piala Asia'

Hamidin (kiri) semasa pertemuan dengan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara. - Foto FB FAM
Hamidin (kiri) semasa pertemuan dengan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara. - Foto FB FAM
A
A
A

KESEBELASAN pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara diharap tidak terus ‘dibayangi’ kisah pada Sukan SEA Hanoi 2021 lalu sebaliknya bersedia untuk mengharungi saingan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan mulai 1 Jun hingga 19 Jun depan.

Peringatan itu ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu skuad muda negara itu melakar keputusan lebih baik pada saingan Piala Asia kali ini.

Hamidin turut yakin skuad kendalian Brad Maloney itu mampu berbuat demikian sekiranya kekal fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi ketika beraksi.

Tegasnya, saingan Piala Asia B-23 2022 adalah misi sebenar skuad muda negara ini selepas menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi.

“Jangan cepat berpuas hati, pemain-pemain kena berikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar.

“Berdepan juara bertahan Republik Korea dan dua pasukan musuh serantau Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah, namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang.

"Oleh itu, terpulang kepada pemain-pemain untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Skuad B-23 negara, dijadualkan berlepas ke Tashkent Ahad ini sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Republik Korea pada 2 Jun, Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun) pada saingan Piala Asia kali ini.

Untuk rekod, skuad B-23 negara sekadar menamatkan saingan pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini pada kedudukan keempat, setelah tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, Hamidin mahu kesemua pemain untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan kejayaan pada Piala Asia B-23 kali ini.

“Saya berharap mereka akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat yang terakhir,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!