MAFI perkasakan pengeluaran input pertanian tempatan
PASIR SALAK - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang memperkasa pengeluaran input pertanian tempatan sebagai kesiapsiagaan menghadapi keadaan bekalan makanan yang semakin kritikal.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, langkah itu diyakini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kebergantungan kepada bekalan import, malah membantu meningkatkan produktiviti dalam negara.
"Pertanian ini melibatkan tiga sektor utama iaitu tanaman, penternakan dan perikanan tetapi apa yang kita lihat dalam tempoh setahun dua ini, banyak input-input pertanian meningkat (harga) berkali-kali.
"Jadi kita sedang melihat apa sahaja local content (kandungan tempatan) yang boleh membantu mengurangkan kita punya import pertanian dari luar supaya kita dapat pastikan bekalan makanan dapat disediakan dan dalam masa sama harganya tidak membebankan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Projek Komuniti Ekonomi Institut Agro Usahawan (iGROW) di daerah kecil Kampung Gajah di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek.
Menurut Haslina, usaha ke arah pengeluaran input pertanian tempatan itu sudah pun dimulakan kalangan usahawan pertanian apabila cuba memformulasikan bahan untuk dijadikan makanan ternakan yang baharu.
Katanya, kebanyakan usahawan itu bukan sahaja terlibat dalam pembekalan tetapi secara keseluruhan dari awal pemprosesan input pertanian.
"Kita tidak dapat nafikan keadaan (krisis bekalan makanan) memang mencabar bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia yang memberi implikasi kepada sektor pertanian.
"Kerana itu kita pun memang mengalu-alukan apa sahaja inisiatif yang dapat membantu negara dalam pertanian agar kita dapat menyediakan bekalan makanan kepada rakyat," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik peranan iGROW selaku institusi swasta yang membantu pembangunan pertanian di Kampung Gajah dengan melibatkan generasi muda, warga emas dan veteran tentera dalam projek usahawan pertanian mereka.
Katanya, melalui usaha itu, usahawan komuniti sektor pertanian dan industri makanan telah berkembang dan menjadikan kawasan itu seperti hub sumber bekalan makanan.
"Saya tengok di kampung ini semua ada, ikan sangkarnya, tanaman cili, penternakan arnab pun ada dan pelbagai porduk dihasilkan.
"Usaha seperti inilah yang kita mahu perkasakan lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!