Tekong Indonesia bergadai nyawa demi wang

Siva Kumar menunjukan lokasi di mana bot suspek ditahan.
Siva Kumar menunjukan lokasi di mana bot suspek ditahan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Cubaan seorang tekong bersama tiga awak-awak dari Indonesia membawa keluar 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari perairan Selangor ke negara jiran tersebut berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Jumaat.

Difahamkan, tekong laut yang berusia dalam lingkungan 30-an menerima bayaran sebanyak 4 juta rupiah atau sekitar RM1,200 daripada ejen di Tanjung Balai, Indonesia untuk menyelusup masuk ke perairan negara ini.

Ketika ditemui, lelaki itu mengaku pernah bekerja selama empat tahun sebagai tukang masak di Shah Alam dan itu kali pertama dia menyeludup PATI dengan alasan menyara dua anak orang kurang upaya (OKU) berusia tujuh dan 12 tahun.

"Lokasi akan diberikan oleh ejen dan saya cuma mengikut saja koordinat pada GPS (Peranti sistem kedudukan global) yang diberikan.

"Selepas tiba, saya dihubungi oleh ejen menggunakan nombor dari Malaysia untuk arahan selanjutnya. Saya tahu salah tapi terpaksa kerana mahu cari makan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Siva Kumar Vengadasalam berkata, radar pengawasan laut (Swasla) mengesan bot dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di perairan Indonesia menuju ke perairan Sungai Buloh sekitar jam 2.55 pagi.

Tekong warga Indonesia yang ditahan oleh Maritim Selangor.
Tekong warga Indonesia yang ditahan oleh Maritim Selangor.

Menurutnya, Kapal Maritim Bagan Datuk yang sedang menjalankan tugas di bawah Op Ehsan dan Op Benteng Laut dikerahkan untuk memintas bot 'barter trade' yang dinaiki suspek tersebut.

"Tiba di lokasi sebuah bot kayu berwarna merah berjalur biru didaftarkan sebagai KM Sanjaya Group dikesan sedang bergerak menuju ke daratan.

"Suspek cuba melarikan diri dengan melajukan bot bagi mengelak daripada ditahan. Bagaimanapun pada jam 5.17 pagi Bot Maritim Perkasa 35 berjaya menahan bo itu di kedudukan 1.6 batu nautika dari barat Jeram, Selangor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Jumaat.

Siva Kumar memberitahu, bot tersebut mempunyai permit sah untuk membawa barangan menggunakan sistem pertukaran barter tetapi telah disalahgunakan.

Katanya, PATI berkenaan dikenakan bayaran dari RM1,300 hingga RM1,700 oleh pihak sindiket yang menguruskan pergerakan bot berkenaan.

Beliau berkata, seramai 14 PATI warga Indonesia ditahan termasuk tekong dan awak-awak berusia dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!