Wan Saiful akui wujud spekulasi ada pemimpin Bersatu lain ikut Zuraida
KUBANG PASU - [DIKEMAS KINI] Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan mengakui terdapat khabar angin beberapa pemimpin Bersatu lain akan mengikut langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu namun enggan mengulas lanjut.
"Adalah lebih baik untuk menunggu pengumuman itu. Saya tidak mahu mendahului (ulas).
"Saya dengar YB Xavier Jayakumar (Ahli Parlimen Kuala Langat) akan menyertai parti (PBM) tetapi saya tidak pasti jika ada ahli parlimen dari mana-mana parti akan keluar untuk menyertai PBM," katanya selepas menghadiri program minum pagi bersama Persatuan Pemandu Teksi Pekan Changlun di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, situasi itu tidak akan melemahkan Bersatu sama sekali.
"Bersatu akan memberi tumpuan kepada perjuangan untuk memastikan kerajaan terus berkhidmat kepada rakyat.
“Kita tidak boleh terganggu dengan perebutan politik partisan sebaliknya harus terus fokus kepada perjuangan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.
Tambah Wan Saiful, ia adalah perkara biasa bagi parti politik baharu untuk menarik pemimpin daripada parti lain untuk menyertai mereka berikutan pilihan raya umum yang semakin hampir.
"Kita semakin menghampiri pilihan raya umum. Ini masanya untuk semua parti politik menarik orang ramai masuk parti masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!