Pasaran getah ditutup kukuh
PASARAN getah Malaysia melonjak untuk ditutup lebih kukuh hari ini seiring dengan keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah Shanghai berikutan perkembangan positif di bandar itu menjelang pembukaan semula ekonomi China dan kenaikan harga minyak.
Menurut seorang peniaga, pemain pasaran juga bertindak balas secara positif terhadap kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menangguhkan pengetatan dasar monetarinya pada September tahun ini.
"Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya telah dihadkan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan data ekonomi China yang lemah," katanya.
Dilaporkan bahawa Fed boleh menghentikan pengetatan dasar monetarinya pada September depan jika terdapat kemerosotan ekonomi dan inflasi mula mengendur.
Harga Lembaga Getah Malaysia (MRB) bagi SMR 20 menokok 19 sen kepada 717.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 3.0 sen kepada 678 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 712.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 676 sen sekilogram. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!