Laksana Pendidikan Kesihatan Mental tangani kes bunuh diri

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan Kesihatan Mental perlu dilaksanakan dengan lebih khusus dan efisien di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menangani insiden bunuh diri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kebanyakan mangsa difahamkan tidak menyedari dirinya sedang berdepan dengan isu kesihatan mental, malah ada yang segan untuk tampil mendapatkan rawatan.

“Justeru, tahap kesihatan mental murid dan pelajar perlu diukur dengan kekerapan paling munasabah dari semasa ke semasa untuk melindungi mereka daripada gejala itu.

“Nilai rohani perlu diterapkan sebagai salah satu elemen untuk memperhebatkan jiwa dan fikiran mereka dalam menelusuri kehidupan yang penuh dengan cabaran kelak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian dan semakan secara mendalam perlu dilakukan pihak berwajib supaya keadaan tidak semakin memburuk.

“Banyak insiden bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan kebelakangan ini. Terjun jambatan, gantung diri dan sebagainya suatu berita yang sangat mendukacitakan.

“Permasalahan ini pernah pun saya bangkitkan beberapa kali sebelum ini. Saya fikir keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan pasca pandemik Covid-19.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya. Seperti saya katakan nyawa setiap rakyat Malaysia adalah berharga. Ia tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, pelbagai faktor mendorong kepada perbuatan bunuh diri dan kebanyakannya berkait dengan isu kesihatan mental disebabkan tekanan hidup.

“Suatu mekanisme yang lebih efektif dan mudah akses perlu diwujudkan untuk membantu orang ramai mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka sekali gus mendapatkan bantuan jika perlu.

“Masyarakat juga perlu didedahkan secara meluas tentang aspek kesihatan mental supaya mereka dapat saling bantu membantu.

“Insiden bunuh diri bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, tetapi turut memberi kesan kepada psikologi ahli keluarga mangsa.

“Saya mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia dan ingatlah bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!