Pemilihan PKR: Proses pengundian semula di Kelantan lancar
KOTA BHARU - Proses pengundian semula secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 melibatkan cabang Tumpat, Ketereh, Bachok, Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Tanah Merah berlangsung dengan lancar dan selesai tepat 5 petang ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata, ahli parti di keenam-enam cabang tersebut tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab mereka biarpun perlu melakukan pengundian semula berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
"Proses pengundian diadakan bermula 9 pagi dan selesai pada 5 petang. Proses pengundian berjalan lancar, tenang serta tiada banyak masalah yang timbul," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Jumaat.
Proses pengundian di Kelantan telah diadakan pada 13 Mei lepas, namun JPP memaklumkan undian semula terpaksa dilakukan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.
Susulan itu tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan jawatan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta cabang turut dipinda dan tarikhnya akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 Ahad ini.
Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli MPP, Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita turut dipinda pada Ahad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!